Jumaat, 17 Disember 2010

Tentera Al - Ahzab

الحمد لله الذي نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره، ونعوذ با لله من شرور أنفسنا ومن سيئا ت أعمالنا. من يهده الله فهو المهتد ومن يضلل فلن تجد له وليا مرشدا، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمد عبده ورسوله. أرسله الله بشيرا ونذيرا بين يديه الساعة فأد الأمانة وبلغ الرسالة ونصح الأمة وجاهد في الله حق جهاده. اللهم صلي علي سيدنا محمد وعلي أله وأصحابه والتابعين لهم بإحسان ألي يوم الدين. أما بعد...

(ياأيها الذين ءامنوا اتقوالله وقولوا قولا سديدا، يصلح لكم أعمالكم ويغفرلكم ذنوبكم، ومن يطع الله ورسوله فقد فار فوزا علظيما.)

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat – benar dalam segala perkara, supaya ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ingatlah sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan

Saudara / saudari yang dirahmati Allah sekalian

Diantara pengajaran yang penting daripada peristiwa Ahzab yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan perkara-perkaranya berterusan sehingga hari ini. Bahawa umat Islam menghadapi musuh dalam 2 keadaan, yang pertama musuh yang datang dari luar dan yang kedua yang berada di dalam. Kita telah mendengar musuh-musuh yang datang dari luar terdiri daripada kalangan Ahli Kitab dan orang-orang musyrikin yang bergabung menubuhkan bala tentera Ahzab untuk menyerang Madinah lalu menjatuhkan kerajaan Islam yang didirikan oleh Rasulullah s.a.w dan menghapuskan Agama Islam

Yang kedua ialah musuh dari dalam, yang menimbulkan keraguan dikalangan umat Islam, mengacau pemikiran umat Islam, merosakkan iman, akhlak dan kedudukan mereka. Musuh dari dalam ini, lebih merbahaya daripada musuh yang datang dari luar kerana musuh dari dalamlah merapuhkan kekuatan umat Islam. Allah s.w.t mendedahkan musuh dari dalam di dalam surah Al Ahzab. Firman Allah Taala

(وإذيقول المنافقون والذين في قلوبهم مرضا من أجر الله ورسوله إلا غرورا)


Dan Ingatlah, apabila orang-orang munafik dan orang-orang yang lemah imannya berkata, Allah dan RasulNya tidaklah menjanjikan kemenangan kepada Islam melainkan tipu daya sahaja untuk menggoda dan menarik perhatian orang ramai

Itulah cara golongan munafik di zaman Rasulullah s.a.w ketika umat Islam berdepan dengan kedatangan bala tentera Ahzab yang membahayakan mereka, dan itulah juga cabaran yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini. Seluruh kumpulan bukan Islam, yang menganut pelbagai agama dan idiologi bersatu untuk menentang Islam

Walaupun mereka sering berbalah dan berkelahi sesama mereka, tetapi untuk menentang Islam mereka bersatu kerana mereka menganggap Islam mencabar hawa nafsu dan kehendak mereka yang sesat. Langkah-langkah untuk menentang Islam terus berlangsung sehingga hari ini di seluruh pelusuk dunia

Mereka bukan sahaja menggunakan senjata-senjata yang membunuh umat Islam, merosakkan harta benda mereka, merompak hasil bumi mereka dan yang lebih merbahaya menggunakan alat-alat media yang canggih yang masuk ke dalam tiap-tiap rumah umat Islam. Dengan cara ini, mereka dapat merosakkan iman, akal meruntuhkan akhlak dan semangat umat Islam. Yang lebih merbahaya ialah golongan munafik yang berada di dalam negeri umat Islam sendiri yang mengaku menjadi orang-orang Islam di tengah-tengah umat Islam

Dalam masa yang sama mereka menjalankan kerja-kerja menentang Islam, mereka menggunakan orang-orang Islam yang jahil, orang-orang Islam yang tidak mengerti agama lalu menimbulkan perkara yang disebut oleh ulama’-ulama’ dakwah حملة تشكي(Gerakan meragukan orang-orang Islam terhadap agama mereka).

Mereka menggunakan media yang canggih dan moden menyambung sebaran-sebaran sesat mereka yang dimasukkan oleh musuh-musuh Islam daripada luar dan dalam masa yang sama, kumpulan-kumpulan yang berada di tengah-tengah masyarakat umat Islam ini lah yang menolong bagi meluaskan lagi dakyah-dakyah merosakkan keyakinan umat Islam terhadap syariat Allah dan janji Allah s.w.t

Di antara kumpulan ini, menamakan diri mereka dengan kumpulan-kumpulan Islam kononnya untuk mengakkan ajaran Islam. Ajaran Islam-Islam moden yang sesuai dengan perkembangan zaman seolah-olah ajaran Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para ulama’ mujtahidin merupakan ajaran yang lapuk dan kuno tidak sesuai lagi dilaksanakan pada zaman ini

Syariat yang dinaskan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran dan Hadis seperti mewajibkan pelaksanaan hukum Qisas, hudud dan ta’zir, wajib menunaikan kewajipan amal ma’ruf dan nahi munkar (menyuruh kepada perkara kebaikan dan mencegah kepada perkara kemungkaran), mengharamkan riba, judi, pelacuran dan sebagainya dianggap menghalang kemajuan

Mereka yang dianggap beragama Islam yang mendapat kuasa yang ditauliahkan oleh penjajah, memberi kebenaran dan membuka ruang kepada keadaan-keadaan sebegini dan melaksanakan perkara yang telah dirancang. Inilah musuh yang diletakkan di tengah-tengah masyarakat Islam yang boleh merapuhkan kekuatan dan melemahkan kedudukan mereka

Apabila hilangnya akidah kepercayaan kepada Islam, sebagaimana yang di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang disampaikan oleh para ulama’ dengan amanah dan dalam masa yang sama Islam dipermain-mainkan di tengah-tengah mereka yang mengaku Islam. Maka banyaklah hukum-hukum Allah yang ditinggalkan sedikit demi sedikit, dengan sendirinya umat Islam kehilangan maruah dan harga diri mereka yang bergantung dengan kemuliaan ajaran Islam kurniaan Allah s.w.t

Inilah musuh-musuh yang berada di dalam masyarakat Islam sebagaimana golongan munafik dan golongan yang lemah imannya bergerak untuk melumpuhkan kekuatan dan gerakan Islam di Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, marilah kita memahami peringatan Allah s.w.t yang telah dinyatakan di dalam surah Al-Ahzab

Apabila kita memperingati peristiwa Ahzab pada tiap-tiap bulan Syawal dan Hari Raya, dengan kita menyebut وحرم الأحراب وحده (Dan Allah menghancurkan Ahzab dalam keesaaNya). Seluruh golongan Ahzab dikalahkan oleh umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w. dengan pertolongan daripada Allah.s.w.t. Sesungguhnya pertolongan Allah sangat penting bagi umat Islam, tanpa pertolongan Allah mereka tidak boleh bertahan kerana kekuatan musuh berlipat kali ganda melebihi mereka

Begitulah pesanan amirul mukminin Umar bin Al-Khattab r.a kepada Saad bin Abi Waqas

(يا سعد... أوصيك ومن مؤتمنا أجني بتقوي الله، فإنما مرسنا بمعصية العدو.)

Wahai Saad… aku berpesan kepadamu dan kepada tentera yang bersama denganmu supaya bertaqwa kepada Allah, dengan mengikut segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Maka sesungguhnya kita diberi kemenangan oleh Allah dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh

Sekiranya kita mengerjakan maksiat sama dengan musuh maka kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t kerana mereka lebih ramai daripada kita, alat-alat mereka lebih banyak daripada kita, harta benda mereka lebih kaya daripada kita. Jangan kamu berkata, oleh kerana kita orang Islam, baik, beriman dan musuh-musuh kita adalah kafir maka kita layak mencapai kemenangan dalam keadaan kita mengerjakan maksiat

Sesungguhnya Allah s.w.t mengalahkan kaum bani Israel dengan serangan tentera bakhsan busra yang kafirsehingga mereka menjadi bangsa yang hina. Diburu dicelah-celah lorong, ditawan oleh musuh dan dijadikan abdi, walaupun mereka adalah pengikut nabi-nabi. Apabila mereka meninggalkan ajaran para nabi dan mengerjakan maksiat, itulah padahnya

Marilah kita melihat betapa bahayanya merebak maksiat kemungkaran dikalangan masyarakat Islam hari ini. Itulah kesan serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh dengan bantuan daripada golongan munafik disokong oleh mereka yang jahil di tengah-tengah masyarakat Islam

Marilah kita sedar dan insaf, betapa bahayanya penyakit yang sedang melanda kita, merebaknya dadah, pengzinaan, maksiat, jenayah dan pelbagai kemungkaran yang berlaku di dalam masyarakat. Pemerintah yang lemah dilanda oleh penyakit rasuah, penyelewengan dan kezaliman. Menandakan bahaya yang sedang melanda kita. Marilah kita selamatkan umat kita dan negara kita dengan Islam, dengan kita menyedari bahawa apa yang berlaku hari ini adalah peperangan Ahzab yang berulang di zaman Rasulullah s.a.w, dan kita boleh selamat sekiranya kita kembali kepada Islam, bersatu dengan Islam, berpegang dengan ajaran Islam seteguh-teguhnya

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم...

والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض. يأ مرون بالمعروف وينهون عن المنكر ويقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة ويطيعون الله ورسوله. أولئك سيرحمهم الله. إن الله عزيز حكيم.

Dan orang-orang yang beriman lelaki dan orang-orang yang beriman perempuan bertolong-menolong diantara satu sama lain. Mereka menyuruh kepada yang baik dan mencegah kepada kemungkaran, mereka mendirikan sembahyang, mereka menunaikan zakat dan mereka itu mentaati Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang akan mendapat rahmat dari Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah itu maha perkasa lagi maha bijaksana

~dipetik dari http://teratakperantau.blogspot.com/~